Khasiat delima? Apa pula khasiat jus delima? Dalam artikel kali ini kami akan kongsikan kepada anda manfaat buah delima yang sedap dan berkhasiat ini.
Delima merupakan salah satu buah-buahan yang paling sihat di dunia, yang mana ianya mempunyai pelbagai manfaat kesihatan yang luar biasa untuk tubuh badan anda.
Memetik wikipedia, pokok delima atau nama saintifiknya ‘Punica granatum‘ berasal daripada Asia Barat Daya dan telah ditanam secara semulajadi di seluruh kawasan Lembah Mediterranean sejak zaman purba.
Berwarna merah, buah delima mempunyai sifat anti-oksida, anti-viral dan anti-tumor selain merupakan salah satu sumber vitamin yang baik, terutamanya vitamin A, vitamin C, vitamin E, serta asid folik.
Baca juga: Khasiat Lobak Merah.
Baiklah! Tanpa berlengah, berikut antara khasiat buah delima, jus delima atau pati delima:
Delima kaya dengan antioksidan.
Buah delima mengandungi polyphenols, yang mana bahan kimia ini merupakan salah satu antioksidan yang amat kuat.
Jus delima mengandungi tahap antioksidan yang lebih tinggi berbanding kebanyakan jus buah-buahan lain. Ia juga mempunyai tiga kali lebih antioksidan daripada teh hijau. Antioksidan dalam jus buah delima boleh membantu membuang radikal bebas, melindungi sel dari kerosakan, dan mengurangkan keradangan(inflammation).
Mengurangkan tekanan darah dan melawan penyakit jantung.
Menurut kajian terkini, hanya dengan meminum sebanyak dua auns jus delima setiap hari, telah terbukti dapat menurunkan tekanan darah, kolesterol dan membersihkan plak dari arteri. Ini merupakan berita baik buat jantung anda.
Delima mampu meningkatkan daya ingatan.
Jus delima kaya dengan polyphenols, yang telah terbukti meningkatkan fungsi ingatan. Dalam satu kajian [LINK], individu yang meminum jus buah delima setiap hari menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam ujian ingatan. Oleh itu, jika anda berasa sedikit ‘mudah lupa’, jom amalkan secawan jus delima sebagai rutin pagi anda.
Mencegah dan melawan kanser.
Kajian telah mencadangkan bahawa buah delima boleh mencegah jenis kanser tertentu dan juga boleh melawan kanser pada peringkat yang berbeza.
Sifat anti-radang dan kandungan polyphenols yang kaya dalam buah delima melindungi DNA dari mutasi, menghalang pertumbuhan sel kanser, dan membantu mencegah kanser daripada merebak.
Lebih banyak kajian diperlukan, tetapi kajian menunjukkan bahawa buah delima dapat membantu memerangi kanser prostat, payudara, kolon, dan kanser paru-paru. [LINK]
Meningkatkan ketahanan dan prestasi sukan.
Jus delima boleh membantu mengurangkan kesakitan (soreness) dan meningkatkan pemulihan kekuatan (strength recovery). Ia juga mengurangkan kerosakan oksidatif yang disebabkan oleh senaman.
Diabetes atau kencing manis.
Buah delima secara tradisinya digunakan sebagai rawatan tradisional untuk kencing manis di Timur Tengah dan India. Walaupun masih belum banyak yang diketahui tentang kesan buah delima terhadap penyakit diabetes, namun yang pasti ianya boleh membantu mengawal insulin dan menurunkan gula dalam darah.
Delima dapat melegakan artritis.
Sakit sendi dari reumatoid artritis boleh menjadi gejala yang amat menyakitkan. Oleh kerana sifat anti-radang yang kuat, buah delima dapat melegakan sendi, bengkak, dan sakit.
Tambahan lagi, flavonol dalam jus delima dapat membantu menyekat keradangan yang menyumbang kepada osteoarthritis dan kerosakan tulang rawan.
Delima meningkatkan sistem imun badan.
Kaya dengan sebatian anti-radang, buah delima adalah sangat berkhasiat bagi mereka yang menghidap penyakit yang berkaitan dengan imun seperti reumatoid artritis dan osteoarthritis.
Buah delima juga kaya dengan vitamin C, yang meningkatkan pengeluaran antibodi dan membantu dalam meningkatkan imuniti badan. Dengan demikian, delima dapat membantu anda mengekalkan sistem imun yang sihat dan menjaga tubuh daripada penyakit dan jangkitan biasa.
Jus delima membantu penghadaman.
Kita semua yang tahu bahawa serat baik untuk penghadaman. Namun disebabkan gaya hidup, kita cenderung untuk makan makanan ringan (junk food), sekaligus mengabaikan kebaikan serat dalam sayuran dan buah-buahan. Menambah buah delima diet harian boleh menjadi salah satu cara terbaik untuk memasukkan serat dalam pemakanan harian anda. Satu buah delima mengandungi kira-kira 45 peratus daripada pengambilan serat harian yang disyorkan.
Delima mampu meningkatkan kesihatan tulang.
Satu kajian pada tahun 2013 [LINK] mendapati bahawa buah delima boleh digunakan untuk mengurangkan kehilangan tulang (bone loss) dalam haiwan yang mempunyai osteoporosis. Ianya disebabkan oleh kandungan antioksidan yang kuat yang terdapat dalam buah delima.
Khasiat Delima – Kesimpulan.
Berdasarkan perkongsian info dalam artikel ini, jelaslah bahawa delima merupakan salah satu buah-buahan yang amat berkhasiat dan mempunyai pelbagai manfaat baik untuk kesihatan tubuh badan secara amnya.
Semoga dengan pengetahuan mengenai khasiat delima ini dapat membantu anda menjalani kehidupan harian anda dengan lebih sihat dan bertenaga. Terima kasih dan jumpa lagi dalam artikel akan datang.
Leave a Reply